Adik-adik Inspirasi Kami

Sebelum kata bertaut rasa, sebelum bicara madah berbunga, suka saya coretkan serangkap pantun buat santapan mula para pembaca...
''Pohon nangka daun pegaga..
Disangka ubat bukan biasa..
Bahagia itu seindah syurga..
Tetapi ada tidak merasa..''
Seharian beraktiviti bersama adik-adik mangsa keganasan rumah tangga membuatkan timbulnya kesedaran dalam diri kami bahawa tiada kehidupan yang sempurna.  Kegembiraan yang terpancar dari wajah mereka seolah-olah mereka sangat dahagakan kebahagiaan, kasih sayang dan belaian manja daripada keluarga. Besar hati kami apabila melihat senyuman sepuluh gigi terukir di wajah comel insan-insan tidak berdosa ini. Saya melihat semua rakan sekumpulan juga tidak kekok untuk melayan karenah adik-adik tersebut yang kadangkalanya mahukan perhatian yang lebih. Boleh dikatakan bahawa hampir semua permintaan adik-adik itu pada hari kejadian telah dipenuhi.
Bukan itu sahaja. Disamping menceriakan, kami sendiri dapat belajar banyak perkara daripada mereka. Salah satunya ialah ikatan persahabatan yang erat. Mangsa-mangsa keganasan tersebut terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang. Namun, kami langsung tidak dapat melihat unsur-unsur pemisahan mengikut kelas antara mereka dalam menjalinkan persahabatan. Mereka sudah terbiasa bermain, belajar, tidur, dan makan sekali tanpa sebarang prejudis. Walaupun mereka masih dalam lingkungan umur kanak-kanak, tetapi keadaan ini dapat memberikan contoh kepada golongan dewasa untuk diikuti.
Penutup kata, pengalaman yang diperoleh sepanjang projek Jalinan Masyarakat ini berlangsung akan kami jadikan sebagai pembakar semangat untuk menempa kejayaan.Semoga hubungan dengan adik-adik tersebut yang dibina melalui projek ini dapat berkekalan.
Sekian, terima kasih.
Muhamad Nazdi Shareen bin Majdi (Adi)
AET150041

No comments:

WELCOME TO OUR BLOG