Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillah hari yang dirancang
akhirnya berjaya dijalankan dengan lancar setelah berkali-kali dan berminggu-minggu
kami bermesyuarat. Pertama sekali, saya Ahmad Hanif ingin memanjat kesyukuran
ke hadrat Illahi kerana dengan cuaca sekarang walaupun dikatakan tak dapat
dijangka, sekejap panas terik, sekejap tiba-tiba hujan, namun dengan berkat dan
limpah kurnia-Nya, cuaca pada hari One Day Trip to UM yang dijalankan pada ahad
17 April lepas sangat baik. Panas sangat pun tak, hujan pun tak, just nice orang
kata. Tidak lain tidak bukan inilah petanda pemurahnya tuhan kerana memberi
peluang kepada kami menjalankan program kebajikan ini. Sesungguhnya kita
hanyalah hamba yang mampu berusaha dan tawakkal kepada-Nya kerana Dia-lah
sebaik-baik perancang.
Tidak saya sangka komitmen daripada
rakan-rakan seperjuangan sekalian amat membuat saya terharu sekali. Ada yang
tidak cukup tidur, terpaksa bangun awal untuk persediaan program, namun hari
yang dijanjikan tetap berjalan dengan baik sekali berkat kegigihan demi
tanggungjawab masing-masing.
Saya, hanyalah sebagai AJK media
yang ditugaskan untuk mengambil gambar dan menguruskan bahagian teknikal sepanjang
program ini berlangsung. Tak banyak aktiviti yang dapat saya sertai bersama
mereka demi melaksanakan tanggungjawab. Namun terserlah dalam setiap keping gambar
di dalam lensa kamera saya, terpancar wajah-wajah mereka yang ceria, tidak ada
seorang pun yang menunjukkan reaksi murung dan sedih. Membuatkan saya terfikir
sejenak, bagaimana tabahnya mereka melalui sejarah hidup yang gelap untuk mereka
menghadapi hari-hari yang mendatang buat mereka. Namun, sejarah-sejarah yang
pahit itu seolah lenyap daripada fikiran mereka hanya dengan sebuah senyuman,
walaupun tiada siapa tahu betapa beratnya bebanan emosi yang terpaksa mereka
tanggung.
Oleh itu, pengalaman ini menjadi pengajaran
yang sangat berguna kepada saya. Akan saya simpan memori ini bagi membangkitkan
semangat jika suatu hari nanti dimana situasi pahit menimpa saya, perkara itu
hanyalah dilenyapkan dengan senyuman, bangkit dan teruskan berusaha menghadapi apa
jua rintangan hidup demi mencapai kejayaan. Cayyok !
Sekian,
Ahmad Hanif bin Muhamad
(AET150037)
No comments:
Post a Comment