Assalamualaikum dan selamat
sejahtera. Pertama sekali, saya ingin memanjat kesyukuran ke hadrat ilahi
kerana dengan limpah kurnianya, program jalinan masyarakat ini akhirnya berjaya
dan berjalan dengn lancar seperti yang dirancang.
Sebelum didedahkan dengan lebih lanjut mengenai kursus jalinan
masyarakat ini, saya agak keliru dengan perjalanan dan matlamat kursus. Adakah
kursus ini perlu? Kenapa perlunya pembelajaran di luar kampus? Adakah
pembelajaran di dalam kampus sahaja tidak memadai?
Kami dipilih untuk menjalankan kursus jalinan masyarakat ini di
pusat jagaan keganasan rumah tangga, iaitu Womens Aid Organization. Pusat
jagaan ini sebenarnya merupakan rumah perlindungan bagi wanita-wanita yang
dilanda masalah seperti penderaan, penceraian dan sebagainya. Namun oleh kerana
terdapat dalam kalangan mangsa tersebut dari kalangan ibu yang mempunyai
anak-anak, maka penjagaan terhadap golongan kanak-kanak juga turut disediakan.
Setelah diberi maklumat mengenai pusat tersebut, kami mula
membincangkan program dan aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk bersama mereka.
Mesyuarat kami tidak hanya dijalankan bersama pelajar sahaja, tetapi turut
disertai oleh wakil pengurusan daripada pihak WAO. Kadang kala, masa kami banyak dikorbankan
untuk bersama-sama bermesyuarat bagi membincangkan perjalanan program tersebut.
Namun begitu, komitmen yang diberikan setiap kawan-kawan saya tidak
mengecewakan.
Setelah menerima kata sepakat, program yang telah dipersetujui
antara kedua belah pihak adalah One Day Trip to UM, Volunteer dan Karnival
Serumpun Kasih Bersama SEAS. One Day Trip To UM adalah satu program lawatan
mangsa-mangsa tersebut ke Universiti Malaya. Pelbagai aktiviti yang kami
jalankan bersama mereka antaranya mewarna, puzzle, dan explorace yang bertempat
di Dataran Siswa FSSS UM. Tidak terkecuali juga kami mengadakan aktiviti luar
yang bertempat di Tasik Varsiti UM iaitu aktiviti zumba, Giant Bubble dan
sebagainya. Apa yang menarik perhatian saya apabila pertama kali melihat mereka
adalah, sekilas pandang mungkin mereka seperti insan biasa, namun jauh di lubuk
hati mereka terdapat beban yang berat,
akan tetapi, setiap aktiviti yang kami jalankan bersama mereka, seolah semua
bebanan tersebut hilang dengan melihat senyuman kegembiraan mereka. Melihat
senario ini, cukup mengajar saya erti ketabahan dalam hidup, contohnya walaupun
pelbagai masalah dan tekanan melanda kita, jangan pernah lupa untuk senyum dan
redha, kerana bukan setiap perkara kita akan dapat capai, setiap liku-liku
itulah sebenarnya membangkitkan kita untuk terus berjaya dalam hidup.
Program seterusnya yang kami
jalankan bersama mangsa adalah Volunteer. Kami dibahagikan setiap kumpulan
untuk bertemu mangsa-mangsa tersebut untuk bersama mereka. Saya bersama Aimi
Syafika, Nazdi, Ryu illsook, Afiqah, Farhana dan Julaika. Perancangan asal kami
adalah bermain bersama-sama mereka di dalam rumah jagaan dan juga di luar
rumah. Namun langit tidak selalu cerah, pada hari program, cuaca tidak menentu
kerana hujan dari pagi sehingga petang. Namun begitu, kami masih meneruskan
program di dalam rumah jagaan tersebut. Antara aktiviti yang kami buat adalah
menonton cerita bersama mereka, membuat origami, dan melukis. Saya tidak sangka
sebenarnya mereka ini sangat berbakat dalam melukis. Bukan hanya itu, kombinasi
warna yang mereka gunakan sangat menarik dan cantik. Saya dapat menjangkakan,
sudah tentu masih banyak bakat yang mereka tidak luahkan, namun mungkin
terhalang kerana sejarah gelap yang menimpa mereka menyebabkan emosi mereka
terganggu sehingga tidak dapat menonjolkan bakat-bakat lain yang ada. Walaupun
begitu, pada hari program, semua mangsa-mangsa tersebut bergembira, walau
terdapat seorang adik yang menangis kerana berebut alat melukis, tetapi Julayka
berjaya memujuk adik tersebut. Bagi saya, pengalaman ini sangat bermakna kerana
ia mengajar kita berinteraksi dengan baik. Kerana saya sendiri sebenarnya
seorang yang pemalu dan sukar untuk berinteraksi dengan orang yang tidak
dikenali. Namun saya dapat rasakan sedikit demi sedikit program ini telah
meningkatkan lagi keyakinan dan softskill saya dalam berinteraksi dengan
masyarakat.
Program seterusnya adalah Karnival
Serumpun Kasih Bersama SEAS, dimana program ini dijalankan di Tasik Taman Jaya,
Petaling Jaya. Tetamu kehormat yang hadir pada hari tersebut adalah Dr. Chong,
Kak Firqah dan Dr Hanafi. Majlis dimulai dengan lagu Negaraku, Universiti
Malaya dan doa pembuka majlis. Ucapan diberikan setiap tetamu kehormat dan
gimik iaitu perasmian kain rentang yang bertulis ‘Serumpun Kasih Bersama SEAS
Universiti Malaya’. Kami meneruskan program dengan nyanyian daripada Balqis dan
Arif, tidak lupa kami mengajak mangsa tersebut untuk turut serta naik ke pentas
untuk menyanyi. Majlis diteruskan dengan permainan outdoor,antaranya Giant
Bubble, Goreng Pisang, Teka Teki dan sebagainya. Walaupun tugas saya pada hari
program hanyalah sebagai jurugambar, namun jelas kelihatan dalam gambar-gambar
yang diambil terukir senyuman-senyuman di wajah mereka. Saya yakin bahawa kami
sudah berjaya menyambung ikatan kasih ini sesuai dengan tagline kami iaitu
‘serumpun kasih bersama SEAS’.
Sebagai kesimpulan, akhirnya saya
dapat memahami kenapa kursus seperti ini perlu diwajibkan oleh setiap pelajar.
Ia mengajar pelajar nilai-nilai moral seperti komunikasi, kebolehan dalam
kepimpinan dan sebagainya. Tanpa kursus sebegini mungkin pelajar hanya dapat
tingkatkan diri dari segi intelektual sahaja bukannya moral dan fizikal. Oleh
itu, saya sebagai seorang mahasiswa daripada Pengajian Asia Tenggara berharap
segala usaha kami di dalam kursus jalinan masyarakat bukan sahaja mendapat
markah yang baik, tetapi nilai jalinan kasih itu dapat diserap dan disemat agar
dapat digunakan pada masa hadapan dan mudah-mudahan kami dan pihak mangsa terus
terjalin bukan sahaja setakat dalam kursus jalinan masyarakat, tetapi
berkekalan sehingga bila-bila.
Sekian,
Ahmad Hanif bin
Muhamad
AET150037