my reflection

            Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Pertama sekali, saya ingin memanjat kesyukuran ke hadrat ilahi kerana dengan limpah kurnianya, program jalinan masyarakat ini akhirnya berjaya dan berjalan dengn lancar seperti yang dirancang.
Sebelum didedahkan dengan lebih lanjut mengenai kursus jalinan masyarakat ini, saya agak keliru dengan perjalanan dan matlamat kursus. Adakah kursus ini perlu? Kenapa perlunya pembelajaran di luar kampus? Adakah pembelajaran di dalam kampus sahaja tidak memadai?
Kami dipilih untuk menjalankan kursus jalinan masyarakat ini di pusat jagaan keganasan rumah tangga, iaitu Womens Aid Organization. Pusat jagaan ini sebenarnya merupakan rumah perlindungan bagi wanita-wanita yang dilanda masalah seperti penderaan, penceraian dan sebagainya. Namun oleh kerana terdapat dalam kalangan mangsa tersebut dari kalangan ibu yang mempunyai anak-anak, maka penjagaan terhadap golongan kanak-kanak juga turut disediakan.
Setelah diberi maklumat mengenai pusat tersebut, kami mula membincangkan program dan aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk bersama mereka. Mesyuarat kami tidak hanya dijalankan bersama pelajar sahaja, tetapi turut disertai oleh wakil pengurusan daripada pihak WAO.  Kadang kala, masa kami banyak dikorbankan untuk bersama-sama bermesyuarat bagi membincangkan perjalanan program tersebut. Namun begitu, komitmen yang diberikan setiap kawan-kawan saya tidak mengecewakan.
Setelah menerima kata sepakat, program yang telah dipersetujui antara kedua belah pihak adalah One Day Trip to UM, Volunteer dan Karnival Serumpun Kasih Bersama SEAS. One Day Trip To UM adalah satu program lawatan mangsa-mangsa tersebut ke Universiti Malaya. Pelbagai aktiviti yang kami jalankan bersama mereka antaranya mewarna, puzzle, dan explorace yang bertempat di Dataran Siswa FSSS UM. Tidak terkecuali juga kami mengadakan aktiviti luar yang bertempat di Tasik Varsiti UM iaitu aktiviti zumba, Giant Bubble dan sebagainya. Apa yang menarik perhatian saya apabila pertama kali melihat mereka adalah, sekilas pandang mungkin mereka seperti insan biasa, namun jauh di lubuk hati mereka  terdapat beban yang berat, akan tetapi, setiap aktiviti yang kami jalankan bersama mereka, seolah semua bebanan tersebut hilang dengan melihat senyuman kegembiraan mereka. Melihat senario ini, cukup mengajar saya erti ketabahan dalam hidup, contohnya walaupun pelbagai masalah dan tekanan melanda kita, jangan pernah lupa untuk senyum dan redha, kerana bukan setiap perkara kita akan dapat capai, setiap liku-liku itulah sebenarnya membangkitkan kita untuk terus berjaya dalam hidup.
            Program seterusnya yang kami jalankan bersama mangsa adalah Volunteer. Kami dibahagikan setiap kumpulan untuk bertemu mangsa-mangsa tersebut untuk bersama mereka. Saya bersama Aimi Syafika, Nazdi, Ryu illsook, Afiqah, Farhana dan Julaika. Perancangan asal kami adalah bermain bersama-sama mereka di dalam rumah jagaan dan juga di luar rumah. Namun langit tidak selalu cerah, pada hari program, cuaca tidak menentu kerana hujan dari pagi sehingga petang. Namun begitu, kami masih meneruskan program di dalam rumah jagaan tersebut. Antara aktiviti yang kami buat adalah menonton cerita bersama mereka, membuat origami, dan melukis. Saya tidak sangka sebenarnya mereka ini sangat berbakat dalam melukis. Bukan hanya itu, kombinasi warna yang mereka gunakan sangat menarik dan cantik. Saya dapat menjangkakan, sudah tentu masih banyak bakat yang mereka tidak luahkan, namun mungkin terhalang kerana sejarah gelap yang menimpa mereka menyebabkan emosi mereka terganggu sehingga tidak dapat menonjolkan bakat-bakat lain yang ada. Walaupun begitu, pada hari program, semua mangsa-mangsa tersebut bergembira, walau terdapat seorang adik yang menangis kerana berebut alat melukis, tetapi Julayka berjaya memujuk adik tersebut. Bagi saya, pengalaman ini sangat bermakna kerana ia mengajar kita berinteraksi dengan baik. Kerana saya sendiri sebenarnya seorang yang pemalu dan sukar untuk berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali. Namun saya dapat rasakan sedikit demi sedikit program ini telah meningkatkan lagi keyakinan dan softskill saya dalam berinteraksi dengan masyarakat.
            Program seterusnya adalah Karnival Serumpun Kasih Bersama SEAS, dimana program ini dijalankan di Tasik Taman Jaya, Petaling Jaya. Tetamu kehormat yang hadir pada hari tersebut adalah Dr. Chong, Kak Firqah dan Dr Hanafi. Majlis dimulai dengan lagu Negaraku, Universiti Malaya dan doa pembuka majlis. Ucapan diberikan setiap tetamu kehormat dan gimik iaitu perasmian kain rentang yang bertulis ‘Serumpun Kasih Bersama SEAS Universiti Malaya’. Kami meneruskan program dengan nyanyian daripada Balqis dan Arif, tidak lupa kami mengajak mangsa tersebut untuk turut serta naik ke pentas untuk menyanyi. Majlis diteruskan dengan permainan outdoor,antaranya Giant Bubble, Goreng Pisang, Teka Teki dan sebagainya. Walaupun tugas saya pada hari program hanyalah sebagai jurugambar, namun jelas kelihatan dalam gambar-gambar yang diambil terukir senyuman-senyuman di wajah mereka. Saya yakin bahawa kami sudah berjaya menyambung ikatan kasih ini sesuai dengan tagline kami iaitu ‘serumpun kasih bersama SEAS’.
            Sebagai kesimpulan, akhirnya saya dapat memahami kenapa kursus seperti ini perlu diwajibkan oleh setiap pelajar. Ia mengajar pelajar nilai-nilai moral seperti komunikasi, kebolehan dalam kepimpinan dan sebagainya. Tanpa kursus sebegini mungkin pelajar hanya dapat tingkatkan diri dari segi intelektual sahaja bukannya moral dan fizikal. Oleh itu, saya sebagai seorang mahasiswa daripada Pengajian Asia Tenggara berharap segala usaha kami di dalam kursus jalinan masyarakat bukan sahaja mendapat markah yang baik, tetapi nilai jalinan kasih itu dapat diserap dan disemat agar dapat digunakan pada masa hadapan dan mudah-mudahan kami dan pihak mangsa terus terjalin bukan sahaja setakat dalam kursus jalinan masyarakat, tetapi berkekalan sehingga bila-bila.
Sekian,
Ahmad Hanif bin Muhamad
AET150037

No comments:

WELCOME TO OUR BLOG