NADIRAH BINTI MUHAMMAD
AIF160057
Assalamualaikum dan salam sejahtera, telah masuk ke refleksi yang ketiga dan saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada penyelaras jalinan masyarakat jabatan asia tenggara iaitu Dr. Chong Wu Lin, pengarah program Azti Nurul Syahirah, pihak WAO, dan tidak lupa juga kepada semua yang telah melibatkan diri secara langsung dan tidak langsung sepanjang program ini. Di minggu yang ketiga program ini, kami telah menjalankan aktiviti luar bersama pihak WAO dengan membawa kanak-kanak WAO ke tempat-tempat yang menarik untuk mengadakan lawatan sambil belajar secara santai.
Tempat yang pertama kami lawati adalah planetarium, tempat ini berkaitan tentang planet, angkasawan, dan ilmu-ilmu angkasa. Kanak-kanak WAO boleh mengetahui dengan lebih lanjut tentang keadaan angkasawan ketika berada di angkasa dengan lebih santai dan menyeronokkan. Mereka juga mendapat pengalaman dengan melihat serta merasai sendiri mesin atau pun alatan yang digunakan di angkasa lepas.
Seterusnya, kami bergerak ke taman rusa dan kancil yang berdekatan dengan planetarium. Terdapat pelbagai haiwan lain di taman tersebut seperti ikan, bermacam-macam spesies ayam, arnab dan sebagainya. Keadaan di taman sedikit redup dan sesuai untuk bersiar-siar bersama-sama kanak-kanak WAO sambil melihat haiwan-haiwan yang berada di sana. Kelihatan jelas dari raut wajah mereka yang sangat teruja melihat haiwan-haiwan di taman tersebut dan pepohon hijau yang merimbun.
Selepas itu, kami berkumpul di taman botanikal untuk makan tengah hari di sana dan solat zuhur di masjid yang berdekatan. Terdapat juga taman permainan di kawasan tersebut dan kami mengambil peluang untuk menghibur kanak-kanak WAO dengan meluangkan masa bermain di taman permainan. Tidak lama kemudian, cuaca bertukar agak sedikit mendung dan kami mengambil keputusan untuk membawa kanak-kanak WAO ke muzium negara kerana ia terletak tidak jauh dari taman permainan itu. Kami meneruskan lawatan sambil belajar di muzium negara dengan mengenali lebih lanjut tentang sejarah dan melihat sendiri artifak-artifak yang terdapat di muzium itu.
Sepanjang aktiviti di minggu ketiga ini, saya dapat pelajari bahawa penepatan masa adalah sangat penting, lebih-lebih lagi jika kita bergerak dalam berkumpulan. Hal ini kerana terjadinya sedikit masalah penepatan waktu sebelum bermulanya aktiviti. Selain itu, setiap individu juga haruslah peka dengan keadaan dan arahan yang diberikan oleh pihak atasan atau pun ketua program. Beberapa masalah kecil timbul sepanjang perjalanan ke WAO kerana tidak peka akan alamat WAO dan tempat-tempat yang dilawati yang dimaklumkan oleh ketua program. Walau bagaimanapun, masalah dapat diatasi dengan segera dan cekap atas bantuan daripada ahli-ahli kumpulan yang berjaya menunjukkan alamat yang betul.