WELCOME

Riak Wajah Disebalik Lensa Kamera

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah hari yang dirancang akhirnya berjaya dijalankan dengan lancar setelah berkali-kali dan berminggu-minggu kami bermesyuarat. Pertama sekali, saya Ahmad Hanif ingin memanjat kesyukuran ke hadrat Illahi kerana dengan cuaca sekarang walaupun dikatakan tak dapat dijangka, sekejap panas terik, sekejap tiba-tiba hujan, namun dengan berkat dan limpah kurnia-Nya, cuaca pada hari One Day Trip to UM yang dijalankan pada ahad 17 April lepas sangat baik. Panas sangat pun tak, hujan pun tak, just nice orang kata. Tidak lain tidak bukan inilah petanda pemurahnya tuhan kerana memberi peluang kepada kami menjalankan program kebajikan ini. Sesungguhnya kita hanyalah hamba yang mampu berusaha dan tawakkal kepada-Nya kerana Dia-lah sebaik-baik perancang.

Tidak saya sangka komitmen daripada rakan-rakan seperjuangan sekalian amat membuat saya terharu sekali. Ada yang tidak cukup tidur, terpaksa bangun awal untuk persediaan program, namun hari yang dijanjikan tetap berjalan dengan baik sekali berkat kegigihan demi tanggungjawab masing-masing.

Saya, hanyalah sebagai AJK media yang ditugaskan untuk mengambil gambar dan menguruskan bahagian teknikal sepanjang program ini berlangsung. Tak banyak aktiviti yang dapat saya sertai bersama mereka demi melaksanakan tanggungjawab. Namun terserlah dalam setiap keping gambar di dalam lensa kamera saya, terpancar wajah-wajah mereka yang ceria, tidak ada seorang pun yang menunjukkan reaksi murung dan sedih. Membuatkan saya terfikir sejenak, bagaimana tabahnya mereka melalui sejarah hidup yang gelap untuk mereka menghadapi hari-hari yang mendatang buat mereka. Namun, sejarah-sejarah yang pahit itu seolah lenyap daripada fikiran mereka hanya dengan sebuah senyuman, walaupun tiada siapa tahu betapa beratnya bebanan emosi yang terpaksa mereka tanggung.

Oleh itu, pengalaman ini menjadi pengajaran yang sangat berguna kepada saya. Akan saya simpan memori ini bagi membangkitkan semangat jika suatu hari nanti dimana situasi pahit menimpa saya, perkara itu hanyalah dilenyapkan dengan senyuman, bangkit dan teruskan berusaha menghadapi apa jua rintangan hidup demi mencapai kejayaan. Cayyok !

Sekian,

Ahmad Hanif bin Muhamad
(AET150037)

No comments: