WELCOME

PENGALAMAN BERSAMA ADIK-ADIK DARI WAO



Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi, akhirnya program One Day Trip to UM berjaya dilaksanakan dengan lancar dengan kerjasama dari rakan-rakan SEAS dan juga dari pihak WAO. Walaupun cuaca agak mendung pada mulanya namun itu tidak menjadi penghalang untuk kami meneruskan program tersebut dengan adik-adik dari WAO pada hari itu.

Pada mulanya, kami akui sedikit gementar untuk bertemu dengan adik-adik dari WAO kerana rakan-rakan dan juga pihak WAO itu sendiri sudah mengingatkan kami untuk tidak menyentuh tentang hal-hal peribadi yang boleh mengguris perasaan sepanjang menjalankan program dengan mereka. Bukan itu sahaja, gambar mereka pun tidak boleh diambil sesuka hati. Walau apapun, kami perlu menghormati setiap permintaan dari pihak WAO demi menjamin keselamatan adik-adik tersebut.

 Sepanjang program tersebut dijalankan, kami dapat melihat kegembiraan pada setiap wajah-wajah mereka. Pelbagai aktiviti diadakan bagi merapatkan hubungan antara kami dengan adik-adik tersebut. Walaupun pada mulanya wajah mereka agak suram, namun perasaan tersebut mula beransur hilang apabila kami memulakan tentatif program sebagaimana yang telah kami rancangkan. Apa yang pasti, kami sudah berusaha untuk buat sebaik mungkin bagi menjayakan program tersebut dan berharap dapat terus melakukan dengan lebih baik pada program yang akan datang bersama mereka.

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr Chong selaku penyelaras program Jalinan Masyarakat dan rakan-rakan seperjuangan SEAS yang banyak memberi komitmen serta pihak WAO yang turut bekerjasama bagi memastikan setiap program yang dirancang oleh kami berjalan dengan lancar. Terima kasih kalian!


Siti Mastura Kharudin
(AET150021)

No comments: