Pengalaman Bersama Kanak-kanak WAO Dalam Program "One Day Trip to UM"

     Pada hari Sabtu yang lepas iaitu 16 April 2016, saya bersama rakan-rakan dalam kursus Jalinan Masyarakat telah mengadakan satu program bersama dengan kanak-kanak dari Child Care Centre (CCC) iaitu program "One Day Trip to UM". Kanak-kanak tersebut merupakan anak-anak kepada ibu-ibu yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Pada hari kejadian, seramai lebih kurang 14 orang kanak-kanak dari CCC telah dibawa ke Universiti Malaya untuk menyertai program yang dianjurkan oleh kami. Hal ini merupakan lawatan pertama mereka ke Universiti Malaya. Terdapat pelbagai aktiviti yang menarik telah dijalankan sepanjang program ini. 

     Aktiviti Ice Breaking merupakan aktiviti yang pertama dijalankan. Semasa aktiviti ini, saya bersama rakan-rakan sekursus telah berkenalan dengan setiap kanak-kanak tersebut sambil bermesra dengan mereka. Setiap daripada mereka memperkenalkan diri dengan mengatakan nama dan umur masing-masing. Ramai dalam kalangan mereka kelihatan gembira dan ceria namun ada juga yang bersikap malu-malu kucing. Saya amat teruja sekali kerana ini merupakan kali pertama saya berinteraksi secara langsung dengan kanak-kanak dalam suatu program seperti ini. Kami telah dipecahkan kepada dua kumpulan dan dikehendaki membuat bulatan masing-masing. Kemudian kami dikehendaki berpusing sehingga bertemu dengan pasangan yang telah ditetapkan. 

     Seterusnya, kami telah menjalankan aktiviti tarian Zumba yang diketuai oleh saudari Norzila di sesuatu tempat yang dikenali sebagai Tasik Wasiti. Saya berasa amat seronok dan teruja melihat kanak-kanak tersebut gembira dan bersuka ria. Terdapat beberapa aksi yang menarik dalam tarian tersebut seperti melompat, berpusing, berjoget dan sebagainya. Ada dalam kalangan kanak-kanak tersebut mengatakan bahawa ini merupakan kali pertama mereka melibatkan diri dalam tarian Zumba iaitu salah seorang daripada mereka yang bernama Vintia A/P Suresh. Walaupun saya tidak dapat mengikut tarian tersebut dengan sempurna atas keadaan saya yang bermasalah penglihatan namun saya berasa gembira melihat kanak-kanak tersebut berseronok. 

     Selanjutnya, aktiviti Explorace telah diadakan. Aktiviti ini dijalankan di dataran siswa, Fakulti Sastera dan Sains Social. Dalam aktiviti ini, terdapat 6 stesen telah dibentuk dan kanak-kanak tersebut telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Setiap daripada stesen tersebut mewakili bidang-bidang tertentu seperti bahasa inggeris, matematik, sains, kesenian dan sebagainya. Saya telah melibatkan diri sebagai seorang sukarela di salah satu stesen tersebut iaitu stesen bahasa inggeris. Dalam stesen ini, kanak-kanak dikehendaki mengisi tempat kosong satu petikan berdasarkan satu gambar yang telah ditampalkan pada tembok. Saya berasa amat seronok melihat kanak-kanak tersebut teruja dengan aktivti Explorace ini. Saya melihat ada dalam kalangan mereka sangat bijak kerana dapat menyelesaikan masalah dengan baik. 

     Selepas itu, aktivit bermain lego telah diadakan bersama kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak tersebut ditempatkan berdasarkan kumpulan-kumpulan yang telah ditetapkan. Setiap kumpulan diberikan satu set lego dan kemudian diminta membina apa-apa sahaja yang mereka suka. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa aktiviti ini sangat bermanfaat kerana ia dapat mencungkil dan meningkatkan tahap kreativiti kanak-kanak tersebut. Saya tidak dapat bermain dengan mereka kerana tidak dapat melihat apa yang sedang mereka lakukan. Hal ini merupakan satu rintangan bagi saya. Namun begitu, saya tetap berasa gembira melihat kanak-kanak tersebut berseronok bermain lego-lego yang telah dibina oleh mereka sendiri. 

     Selepas selesai makan tengahari, satu pertandingan mewarna telah dijalankan. Dalam aktivti ini, setiap daripada kanak-kanak tersebut diberikan sehelai kertas yang  mengandungi lukisan dan satu set pensel warna. Mereka diberikan masa satu jam untuk menyiapkan tugasan tersebut. Lebih kurang 6 kanak-kanak yang berjaya menghasilkan warnaan yang tercantik akan  diberikan hadiah. Aktiviti ini merupakan satu aktiviti yang bermakna dan bernilai kerana ia membolehkan kanak-kanak tersebut mendedahkan kreativiti mereka di samping berasa seronok berwarna. 

     Akhir sekali, aktiviti "Giant Bubble" turut dijalankan. Dalam aktiviti ini, setiap kanak-kanak diberikan peluang untuk bermain dengan buih sabun. Saya dan rakan-rakan juga turut bermain dengan mereka dengan penuh kemesraan dan kegembiraan. Saya secara peribadi berasa amat gembira dan seronok bermain dengan kanak-kanak dan amat teruja melihat mereka amat teruja bermain dengan buih sabun tersebut. 

     Secara kesimpulannya, saya merasakan program ini amat berguna dan bermanfaat. Secara keseluruhannya, saya mendapati program ini amat berguna dan sangat menguntungkan, baik untuk kami pelajar Universiti Malaya mahupun kanak-kanak tersebut. Hal ini demikian kerana, kami akan mendapat pengalaman melakukan kerja-kerja kebajikan dengan kanak-kanak dan pada masa yang sama kanak-kanak yang merupakan anak-anak kepada ibu-ibu yang merupakan mangsa keganasan rumah tangga dapat menikmati keseronokan dan kegembiraan. 

Yang dikasihi, 
Dennis Teo Wei Xiang
AET150003

No comments:

WELCOME TO OUR BLOG