Sepuitis Buah dalam Kebaikan.

Sawaddii khrab dan Salam Sejatera.

Bersyukur kepada Tuhan kerana program jalinan masyarakat telah berjaya diselesaikan bersama-sama dengan adik-adik WAO. Sememangnya, program telah pun habis tetapi gelak ketawa adik-adik dan rakan-rakan masih lagi segar terngiang-ngiang dalam kepalaku.

Pada 8 Mei yang lalu, kami telah pun menganjurkan sebuah karnival di Taman Jaya secara kecil-kecilan untuk meraikan adik-adik WAO yang menjadi mangsa kepada keganasan rumah tangga. Dalam pada itu, kami juga telah menganjurkan program Fruit In Kind hasil kolaborasi bersama Kak Shue Rui, seorang artis seni.

Fruit in Kind adalah salah satu aktiviti yang diasaskan oleh Kak Shu sendiri untuk mengumpul buah-buahan daripada orang awam. Kemudiannya, buah-buahan tersebut akan disusun dan dihiasi mengikut kreativiti masing-masing dan dipamerkan kepada orang ramai. Selepas itu, buah-buahan tersebut akan diberikan kepada rumah-rumah kebajikan tidak kira rumah orang tua, rumah anak yatim dan tidak ketinggalan juga rumah perlindungan mangsa keganasan rumah tangga seperti WAO. Kami melihat ini adalah satu idea yang baik untuk membantu golongan yang memerlukan. Oleh itu, kami pun mengambil idea ini dan melakukannya pada hari karnival tersebut untuk membantu kanak-kanak WAO.

Fruit in kind yang telah kami buat adalah berdasarkan instalasi seni dan bertemakan kebergantungan kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak. Idea ini dicetus oleh pelajar sendiri dan melakukannya bersama-sama. Kami mengumpul buah-buahan daripada orang penderma dan penaja mulia dan kami juga membeli buah ini daripada pasar raya.  Ampaian tersebut juga dibeli untuk menjayakan instalasi. Saya akan menceritakan serba sedikit tentang karya ini.

Buah-buah yang digantung pada ampaian melambangkan hasil kejayaan atau sesebuah kebahagian saling bergantung antara satu sama lain. Anak-anak ibarat kain putih yang belum dicorakkan. Anak-anak perlu bergantung kepada ibu bapa untuk membesar dan ibu bapa berperanan untuk mencorakkan anak-anak mereka.






Kain merah yang menampung buah-buahan ini melambangkan bagaimana ketabahan seseorang itu amatlah penting dalam menampung bebanan hidup yang berat ini. Seberat mana pun bebanan yang perlu ditampung tapi jangan lah sesekali melupakan tanggungjawab kita. Jika sebagai ibu bapa, kita perlulah menjaga tanggungjawab kita untuk memelihara anak-anak walaupun bebanan hidup ini tinggi kerana ini memang tanggungjawab kita. Janganlah bagi anak yang tidak berdosa menanggung kesan daripada bebanan kita.

Selain itu, buah-buahan yang disusun atas kain itu seolah-olah tangan yang menadah seperti tangan manusia yang sedang merayu atau berdoa kepada Tuhan(epal hijau). Buah pisang kuning melambangkan cahaya suci menyinari kehidupan manusia. Sebagai manusia, kita tidak patut melupakan pencipta atau Tuhan. Sentiasalah beringat bahawa tuhan akan memberikan kita rezeki dan sentiasa menguji kita dengan cabaran dan kita perlu menerimanya. Buah nanas pula melambangkan kita sebagai manusia walaupun luaran kita seperti berduri-duri dan tidak menarik tetapi yang pentingnya adalah kecantikan dalaman yang mempunyai hati nurani yang bersih dan mulia seperti nanas yang kasar di luar tetapi masam-masam manis di dalamnya.

  

Selepas berakhirnya pameran kami semasa karnival dalam pukul 4 petang. Kami menyerahkan buah-buahan dan ampaian ini kepada WAO untuk kegunaan adik-adik di WAO. Semoga sumbangan buah-buahan segar dan berkhasiat ini dapat mengukir senyuman kepada adik-adik di WAO. Terima kasih kepada kursus jalinan masyarakat kerana telah 'memunculkan' adik-adik ini kepada kami dan telah mengajar kami apa ertinya kehidupan dan memberikan kita kesedaran betapa pentingnya sesebuah institusi kekeluargaan yang stabil kepada anak-anak dan masyarakat mahupun negara.
Kalau berumur panjang, saya harap dapat bertemu lagi dengan adik-adik ini. Saya hanya mendoakan yang hidup adik-adik ini akan berubah lebih bahagia dan semoga mereka membesar menjadi insan yang berguna kepada semua orang. Maafkanlah 'uncle-uncle' dan kakak-kakak sekiranya ada kekurangan. Khoo Hai Chook Dii(Goodluck).

'Biarpun tidak mempunyai kepandaian seperti orang lain, tetapi biarlah diri menjadi insan yang berguna.'

Yang Ikhlas,
Wannchanak A/L Wiang
AET150024



No comments:

WELCOME TO OUR BLOG